April 13, 2010

MENCARI MASJIDIL QALBI

Matahari yang memancar sinarnya pantas menghadirkan petanda mulanya hari bagi penghuni daerah suci Hijjaz.

Angin yang berhembus perlahan merentasi kota Madinah menambahkan lagi rona dingin menyamankan suasana pada pagi itu. Angin yang menyapa lemah, namun cukup berdaya untuk menggugurkan dua tiga pelepah tamar yang kering jatuh ke bumi berpasir itu. Pelepah-pelepah hijau bebas meliuk lentuk ke kiri dan ke kanan sambil sesekali menjamah gugusan tamar di pohon yang sama mahupun pohon berdekatan.

Ada yang masih berona hijau dan ada yang berwarna perang kemerahan menghadirkan petanda boleh dinikmati. Berselang-seli mendesirkan desiran perlahan, damai sebagai juadah halwa telinga. Ceria di waktu pagi.

Deretan-deretan unta yang sarat dengan bahan-bahan dagangan memberi petanda kehadiran kafilah-kafilah ke kota Madinah. Perlahan melalui lorong-lorong kota, bersedia memulakan dagangan walaupun kedai-kedai masih belum lagi dibuka.

Beberapa orang kanak-kanak kelihatan berlari-lari riang, mengejar antara satu dengan yang lain sambil langkahan mereka dituruti beberapa orang dewasa yang berjalan dengan agak cepat namun langkahnya pendek-pendek. Keriangan jelas tersinar di wajah mereka. Tetap sehati menuju arah sama menyambut kehadiran kafilah-kafilah yang datang.

Angin tetap menghembus lembut. Mentari mulai tqrik menyinar. Menembusi ruang-ruang celahan daun pelepah tamar. Menghadirkan jalur cahaya seakan-akan tirai pagi. Menambat hati sesiapa yang melihatnya dengan jambangan perasaan yang berbunga keasyikkan.




Unta-unta yang sarat dengan muatan mematikan langkah mereka apabila sampai betul-betul di hadapan masjid Nabawi. Kedatangan kafilah-kafilah ini disambut dengan ucapan selamat oleh ahli-ahli suffah yang keluar dari masjid nabawi. Menghadirkan langit kegembiraan sambil berpelukan tanda kemesraan.

Binaan masjid ini langsung tidak menggambarkan sedikitpun kemewahan yang dimiliki penduduk di sini. Pacakan batang-batang tamar yang menjadi tiang masjid membatasi kawasan tanah lapang sebagai tanda kawasan masjid. Tiga pintu masuk utama yang menjadi laluan keluar masuk masjid itu dibina ringkas dengan batu-bata dari pasir yang dibakar. Cukup menggambarkan kesederhanaan jemaahnya bagi sesiapa sahaja yang mentafsirkan pandangannya.

Susunan batu bata tanah bakar sebagai dindingnya sekadar tinggi orang dewasa yang berdiri. Atap-atap yang disilangkan daripada pelepah tamar sekadar bertindak menahan panahan mentari daripada menembusi jemaah di bawah lindungan masjid tersebut.

Lantainya digubah dengan hanya taburan batu-batu kecil disulami pasir-pasir halus yang ditaburkan. Atap yang sebegitu rendah pastinya akan mengenai tangan jemaah yang berdiri dan mengangkat tangannya. Sederhana sekali. Walaupun binaan yang sederhana, namun tidak sepadan dengan mahligai iman di dalam kalbu jemaahnya yang terlahir dari kuntuman ikhlas dan ihsan dikuatkan lagi dengan jalinan yang nyedar dan nyenyak menjadi tauladan suci buat umat terkemudian.

***************************************

“ Jauh mengelamun! Sudah sampai ke mana? Tripoli? Amman? Kaherah? atau Morocco?”.

Dengan tiba-tiba dan tidak semena-mena suara itu hadir. Kasar dan parau suara pemuda itu sungguh mengejutkannya. Menghadirkan rasa kurang selesa yang jelas terbit dari riak wajahnya yang redup itu.

Soalan itu hanya dipendamkannya sahaja. Cukup dengan helaaan nafas yang panjang. Seakan menyembunyikan sesuatu.

“ Marah?”. Suara parau itu berbunyi lagi. Nada yang berbaur kesal dan sedikit memujuk jelas kedengaran.

“ Tak. Gembira.” Jawapan yang ringkas dihulurkan diiringi kuntuman senyuman yang sedikit hambar sekadar meredakan sedikit tekanan.

“ Apa yang kau fikir?” pertanyaan sekali lagi menerpa. Penuh dengan rasa kepinginkan kepastian dan perasaan ingin tahu. Menyuguh isi hati seorang rakan.

Pandangannya dialihkan ke sisi tubuh. Merenung pohon-pohon rendang yang meliuk lentuk melambai-lambai. Deretan tubuh –tubuh manusia yang bersasak-asak hanya diperhatikannya. Pandangan yang sugul.

“ Ini mesti sebab kuliyyah Ustaz Uzair tadi bukan?”. Soalan mula diasak lagi. Dan yang pasti akan terus bertubi-tubi selagi jawapan yang dicari tidak ditemui.

“ Emm.” Jawabnya ringkas.
Ternyata kuliah Subuh Ustaz Uzair pagi tadi jelas menjentik hatinya. Peringatan-demi peringatan bagaikan belati yang menusuk-nusuk hatinya. Luka dek tikaman kata-kata hikmah yang tidak mungkin menghadirkan rasa senang kepada sesiapa yang mendengarnya.

Walaupun ringkas isinya namun cukup membuatkan hatinya begitu terasa. Kerana pokok persoalan yang begitu dekat mengakar di hatinya.

“ Kau risau? Ya Din?”
“ Masanya sudah tiba untuk kita menghadirkan angin perubahan. Mencorakkan revolusi pemikiran. Agar tiada lagi yang bisa menghanyutkan diri kita ke lembah kefasikan. Aku tak rela Man. Apa nasibnya agama kita kalau tindakan tidak direncana segera? Apa nasibnya?”. Suara yang tegas kedengaran. Keras sekali.

Kata-kata semangat yang secara tiba-tiba diucapkan , menghentam perasaan Aiman. Rakan seangkatan yang begitu dekat di hatinya, akrab di hatinya dengan tautan tali ukhwah.
Luahan hati Ainudin segera difahaminya. Sesuai dengan maksud namanya; mata agama.sentiasa memerhati dan mengamati permasalahan generasinya yang semakin tidak selari dengan kehendak agama. Ternyata kuliah Ustaz Uzair pagi tadi cukup membekam hatinya.

Kuliah yang berkisar tentang belia Islam di samping mengupas permasalahan remaja yang semakin hari semakin jauh dari agama. Berakarnya kudis-kudis sosial yang berpunca dari jauhnya jiwa dari agama.

Tali agama yang sepatutnya dililit kemas pada diri, diabaikan kerana terpesongnya tanggapan dan kerasnya hati bahawa agama menjadi belenggu perencat modenisasi.

Oleh kerana nur agama tidak ditanam di dalam dada, kejahilan mulai beraja, bersarang dalam mata hati.

Akibatnya segala macam keburukan mula dicanang-canang kehadirannya dalam hati. Tompok-tompok hitam kejahilan semakin berbunga di dasar hati. Mengakar kukuh membuatkan mata hati semakin buta dengan kebenaran agama tetapi celik dengan kefasikan dunia.

“ Jadi apa yang kau mahu lakukan?” Aiman bertanya lagi. Menginginkan justifikasi tindakan yang mahu dilakukan sahabatnya.

“ Aku mahu membina masjid di hati belia kita!” Ainudin menjawab.

“ Apa?” Jawapan yang diberikan ternyata memberikan seribu persoalan dalam kotak fikirannya. Bingung dengan jawapan sahabatnya.

“ Aku mahu membina Masjidil Qalbi!” Suara itu hadir lagi tapi kali ini dengan semangat yang lebih padu disatukan dengan jeritan ikhlas.

Aiman terdiam. Tidak terkata. Namun dia faham denagan kalimah yang didengarnya tadi. Bangga dengan semangat sahabatnya tadi. Kau akan ku bantu sahabatku!

***************************************

Usaha membina Masjidil Qalbi terus bermula. DengAn bantuan Aiman mereka terus bergerak memulakan langkahan. Dimulai dengan berjumpa dengan Ustaz Uzair.

Memohon restu dan nasihat yang bakal menjadi azimat pembakar semangat. Ternyata, impian murni mereka disambut denagn gembira oleh Ustaz Uzair gembira dengan semangat anak muda dalam menyalakan obor agama dalam jiwa rakan seusia. Barakah pasti mengiringi kamu wahai anak muda!

Kerjasama kariah masjid menjadi keutamaan mereka. Masjid yang selalu dikunjungi, Masjid ar-Rahmah terus menjadi sasaran dua sahabat ini sebagai tapak mula medan dakwah. Pastinya masjid ini akan menjadi tapak dalam perjuangan mereka merencana nyalaan pelita agama dalam hati golongan seusia mereka.

Ainudin percaya dengan cara yang lembut dan berhikmah akan menjadi tunjang dalam usaha dakwah meraka. Jiwa remaja dalam usia begini tidak harus ditujah dengan ajakan keras tetapi perlu disapa dengan berhikmah agar matlamat utama dapat digapai.

Musyawarah terus dimulakan. Kata sepakat harus segera dicapai. Bulat kata mesti dicapai dengan muafakat.Modul aktiviti terus dirangka. Semuanya harus dianyam dengan penuh berhati-hati agar lembaran hikmah dapat disulam.

Pengisian yang bermakna diberikan perhatian dan penelitian yang khusus agar tidak sia-sia. Semoga apa yang dirancang akan mendapat keberkatan dari yang Maha Esa.

Barkatillah Ya Allah!
Barkatillah Ya Allah!
Barkatillah Ya Allah!

*************************************

“ Ustaz bangga dengan usaha kamu berdua”
Ungkapan Ustaz Uzair selepas usai solat Asar tadi jelas menampakkan jalur-jalur gembira di wajahnya. Ternyata usaha-usaha dan penat jerih selama ini terbalas.

Alangkah gembiranya dia saat Malam Kesenian Islam yang dianjurkan mendapat sambutan hangat. Hiburan yang berlandaskan syarak ternyata masih di hati mereka.

Pertandingan Sukan Menutup Aurat Yang dianjurkan jelas menarik mereka ke arah panduan bersukan yang bersyariat.

Kem Ibadah yang dijalankan mendapat penyertaan yang cukup menggalakkan.Bilangan belia yang ke surau juga bertambah dari hari ke hari. Syukur Ya Rabb. Dengan permulaan yang sebegini baik pasti akan menghadirkan saat masa hadapan yang lebih gemilang.

Ini hanya permulaan.Aku harus tabah dalam menghadapi entah apa jua cabaran yang bakal mendatang dan menghalang.

Sesungguhnya membina masjid di atas tanah lapang lebih sukar dari membina masjid di dalam hati manusia. Akan ku usaha membina masjid di hati agar menjadi teras agama di dalam hati.

Mabruk ya Masjidil Qalbi!
Mabruk ya Masjidil Qalbi!
Mabruk ya Masjidil Qalbi!

Moga ku terus teguh dalam membina Masjidil Qalbi!

No comments:

Related Posts with Thumbnails
 

blogger templates | Make Money Online